SELANGOR

MB tunai janji turun padang, rungkai isu rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUL: Selepas sebulan dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengotakan janji dan hasratnya untuk turun ke pelusuk negeri bagi melihat permasalahan yang berlaku khususnya dalam meningkatkan kualiti sistem penyampaian serta perkhidmatan.

Beliau berkata, melalui platform itu, beliau dapat bertemu pemimpin dan masyarakat setempat untuk mendengar dan melihat permasalahan yang timbul bagi mencari jalan penyelesaian.

“Hari ini merupakan hari yang penting kerana saya berjanji kepada rakyat selepas sebulan jadi Menteri Besar yang baharu, saya mahu turun di setiap daerah, DUN dan kampung seluruh Selangor untuk mendengar hasrat dan harapan rakyat disamping lihat pelan pembangunan negeri yang dirancang sekian lama.

“Sebelum ini, saya hadir tetapi secara santai lebih lagi memenuhi jemputan Aidilfitri. Tetapi sekarang saya turun secara serius, untuk tempoh dua bulan ini ke Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan bagi mendengar dan mendapat balas secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat DUN Sungai Kandis di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini.

Amirudin berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2019, Pegawai Kewangan Negeri kini giat pelan fiskal untuk diterjemahkan kepada rakyat.

“Menjelang 2020, kita juga akan mengakhiri pelan Rancangan Malaysia ke 11 dan pada masa sama, Selangor juga mempunyai rancangan strategik 2025.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan bukan hanya melihat pelan tetapi mendengar suara rakyat dan menterjemahkan dalam bentuk manfaat.

“Inilah makna demokrasi untuk rakyat kepada rakyat,” katanya.


Pengarang :