PBTSELANGOR

MBPJ catat penurunan kes denggi 42%

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 JUL: Kes kumulatif denggi di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya menurun 42 peratus (1,005 kes), berbanding 1,733 kes tahun lalu.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, jumlah kes demam denggi mingguan dilaporkan sehingga minggu epid ke 23/2018 adalah 79 kes.

Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan kes 41 peratus, berbanding kes pada minggu epid 21/2018 dengan 56 kes.

“Purata kes mingguan adalah 44 kes dengan aliran tahunan kes dilihat meningkat sejak minggu epid 14 hingga minggu epid 23.

“Purata kes minggu epid 1-23 meningkat kepada 56 kes (purata minggu epid 14-23) disebabkan taburan hujan yang meningkat dalam tempoh itu yang menggalakkan pembiakan jentik-jentik serta langkah kawalan terganggu,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azizi berkata, jumlah lokaliti wabak sehingga minggu epid 23 berakhir adalah 27.

Katanya, ia membabitkan satu wabak baru, 20 wabak terkawal, empat wabak tidak terkawal dan dua kawasan hotspot.

Pada masa sama, beliau berkata, DUN Kota Damansara mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 223, Bukit Lanjan (209), Seri Setia (184), Taman Medan (123), Bukit Gasing (114), Damansara Utama (104), dan Kampung Tunku (48).


Pengarang :