SELANGOR

MBPJ fokus program kurangkan penjanaan sampah

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 31 JUL: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) akan memberi fokus ke atas tindakan penguatkuasaan serta program inisiatif mengurangkan penjanaan sampah bersama penduduk selepas penyerahan pengurusan kutipan kepada KDEB Waste Management.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mensasarkan 30 peratus penyertaan penduduk menjelang 2019 untuk bersama menjayakan program yang dirangka itu.

Katanya, program itu secara langsung dapat mengurangkan kos pelupusan ditapak pelupusan yang dilihat meningkat setiap tahun.

“Secara purata di Petaling Jaya, sebanyak 600 tan sampah dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Setakat ini, sebanyak 10 peratus sahaja penduduk yang menyertai program ini.

“Oleh itu, pelbagai usaha diadakan ketika ini dan akan mempergiatkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak terutama program 5R (reduce reuse, recycle, rethink dan reinvent) untuk mendidik dan memberi pengetahuan kepada kanak-kanak, di peringkat sekolah tadika,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Perkhidmatan Pengurusan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam dan Penyerahan Lori Kompaktor serta Armroll, di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, JPSPPA akan memperbanyakkan kempen atau program hijau serta penyediaan kemudahan lain seperti pusat 5R serta Eco Recycling Plaza, di SS8.

Pada masa sama, Mohd Azizi menyambut baik pengambilalihan pengurusan sisa domestik dan pembersihan awam oleh KDEBWM, di kawasan pentadbirannya.

Katanya, sebanyak RM24.9 juta dibelanjakan setahun bagi kerja kutipan sampah domestik dan RM30.3 juta diperuntukkan bagi kerja pembersihan awam.

“Skop kerja ini membabitkan kutipan sampah domestik, pembersihan awam di jalan protokol dan longkang besar, sapuan jalan, cucian longkang, pemotongan rumput, kutipan sampah pukal dan sampah kebun, pembersihan petak pasar malam, pasar pagi, pasar minggu serta bazar Ramadan,” katanya.

 


Pengarang :