PBTSELANGOR

MBSA jelajah Baling bantu anak yatim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjelajah hingga ke Baling, Kedah bagi membantu golongan anak yatim.

Jurucakap MBSA berkata, ia adalah bersempena dengan Program Jelajah Prihatin MBSA dengan kerjasama Yayasan Anak-Anak Yatim Malaysia (YATIM).

Katanya, bantuan tersebut diberikan kepada golongan yang memerlukan khususnya penduduk yang kurang bernasib baik di sekitar Daerah Baling.

“MBSA melalui YATIM telah mengenalpasti seramai 100 penerima sumbangan terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Sera, Baling Kedah.

“Sementara 50 keluarga terpilih yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah pula menerima sumbangan mengikut kriteria yang ditetapkan seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas yang tidak berkemampuan serta Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya dalam kenyataan.

Program yang diadakan pada 20 Julai itu bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sera Baling dan Surau Al-Husna Kampung Sera Baling, Kedah, dengan disertai 30 kakitangan MBSA.

Program disempurnakan Timbalan Setiausaha MBSA, Rosli Bakar. Turut serta ialah Pengarah Urusan Yayasan Anak-anak YATIM Malaysia, Sallehuddin Osman, Guru Besar SK Kampung Sera Baling Kedah, Zahari Abdul Majid, dan Pengerusi Surau Al-Husna Kampung Sera, Mohamad Zamri Mohamad.

Sumbangan yang diberikan termasuk barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula dan sebagainya bagi menjamin menu harian yang sihat.

 


Pengarang :