PBTSELANGOR

MBSA raih tempat ke-22 daripada 50 Bandar Raya Dunia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Pertandingan ‘We Love Cities’ 2018 anjuran World Wide Fund For Nature (WWF), menyaksikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya menduduki tempat ke-22 daripada 50 penyertaan seluruh dunia.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen orang ramai yang mengundi dan menyokong pembabitan MBSA dalam pertandingan berkenaan.

Katanya, kriteria digunakan dalam pemilihan itu adalah berdasarkan kepada undian setiap komuniti di bandaraya berkenaan.

“Promosi dilakukan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan tanda pagar (hashtag),” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, pihak MBSA turut mengatasi bandaraya lain termasuk Istanbul, Tokyo, Vancouver, Cleveland dan Santiago.

“Bagaimanapun, dalam pertandingan ini kami berjaya mengatasi bandaraya Kuala Lumpur yang berada di tempat ke 23, manakala Bandaraya Melaka di kedudukan ke 30 peringkat kebangsaan.

“Secara keseluruhan, Bandaraya Jakarta telah memenangi pertandingan ‘We Love Cities’ 2018,” katanya.

Justeru, beliau berkata, menerusi kempen terbabit diharapkan ia dapat mewujudkan rasa sayang dan kekitaan (sense of belonging) dalam kalangan masyarakat terhadapa Bandaraya Shah Alam, khususnya.

=EZY=

 


Pengarang :