SASTERA

Membuka pintu galeri: Trivia Jepun-Perancis

Oleh Abdullah Jones

Setelah tamat pengajian di Amerika Syarikat, Kojiro Matsukata (1866-1959) anak ketiga kepada perdana menteri Jepun pada era Meiji iaitu Masayoshi Matsukata dilantik sebagai setiausaha kepada bapanya sebelum menjadi presiden kepada syarikat perkapalan Kawasaki Dockyard Co. Ltd.

Beliau membina kekayaan semasa mengetuai syarikat berkenaan dan mula mengumpul lukisan pada lawatannya ke London pada tahun 1926 sebagai persediaan untuk membina “Sheer Pleasure Fine Art Pavilion” — juga dikenali sebagai National Museum of Western Art atau bahasa Jepunnya, Kokuritsu Seiyō Bijutsukan.

Tujuan beliau membina pavilion berkenaan bukanlah untuk kepuasan peribadinya semata-mata tetapi bagi memberi peluang kepada rakyat Jepun untuk menikmati karya seni halus dari Barat tanpa perlu keluar daripada Negara Matahari Terbit.

Beliau sempat mengumpul sebanyak 3,000 keping lukisan karya pelukis Barat sebelum perniagaan syarikat Kawasaki Dockyard Co.Ltd mula mengalami kerugian akibat kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1927.

Perniagaan pembinaan kapal yang diusahakannya mengalami kerugian besar. Maka, untuk menyelamatkan perniagaan, beliau tidak dapat tidak terpaksa menjual kembali sekian banyak lukisan yang dikumpulnya bagi mencari dana tambahan.

Pada tahun 1939, Kojiro sekali lagi mengalami nasib malang. Kali ini, gudang simpanan lukisannya di Kota London terbakar. Sebanyak 1,000 keping lukisan hangus bersama marak kebakaran gudang berkenaan.

Kemudian, sebahagian karya seni yang disimpan beliau di Paris pula dirampas oleh kerajaan Perancis semasa Perang Dunia Kedua atas alasan ia adalah harta milik musuh negara itu . Namun Perancis memulangkan kembali semua lukisan tersebut, sesuai dengan Perjanjian Damai San Francisco pada tahun 1951.

Pada tahun 1959, Sherr Pleasure Fine Art Pavilion dibuka di Tokyo mengandungi sebanyak 370 keping lukisan yang dipulangkan Perancis kepada kerajaan Jepun.

Walaupun pada mulanya pavilion itu hanya mempamer karya-karya pelukis Perancis, namun pada tahun-tahun berikutnya, ia mula memperluaskan koleksinya melalui sumbangan penajanya iaitu Kojiro Matsukata. Hari ini, pavilion berkenaan memiliki karya pelukis tersohor dunia seperti Pablo Piccaso, Jackson Pollock, Oscar-Claude Monet, Pierre-Auguste Renoir dan sejumlah besar pelukis ternama dari Perancis.

Agaknya, tercapai sudah hasrat murni Kojiro Matsukata untuk memberi “kenikmatan sejati” kepada rakyat Jepun dalam menghayati karya-karya agung pelukis dunia.

Sedikit trivia. Dikatakan Kojiro Matsukata sangat rapat dengan pelukis terkenal Pierre-Auguste Renoir, justeru sebahagian besar koleksi muzium itu hasil kerja pelukis berkenaan.

Kesungguhan Kojiro Matsukata dalam mengingini masyarakat Jepun beroleh manfaat dari kekayaannya adalah suatu hal yang patut dicontohi.

Kita di Malaya ini juga mengharapkan adanya mereka yang berkemampuan untuk membeli dan mungkin juga membina sebuah pavilion seni seperti yang dilakukan Kojiro Matsukata.

Apatah lagi, terdapat beberapa pengumpul karya seni di negara kita yang menumpu usaha menyimpan karya pelukis luar selain memberi sokongan kepada seniman tempatan. Malah, ada juga desus-desas menyebut sebuah karya pelukis terkenal Anselm Kiefer disimpan di dalam negara kita. Dikatakan juga karya tersebut adalah antara karya terbaik pelukis berkenaan.

Alangkah nikmatnya jika kita semua dapat melihat karya berkenaan. Apa yang diharapkan adalah para pengumpul ini sudi membuka pintu galeri peribadi mereka untuk memberi (berkongsi?) kenikmatan sejati kepada pecinta-pecinta seni di tanah air ini.


Pengarang :