NASIONAL

Menang Presiden Umno, ini pesan Azmin buat Zahid

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 JULAI: Walaupun berjaya dipilih mengemudi kepimpinan tertinggi Umno, namun Datuk Seri Zahid Hamidi diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan keputusan itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Presiden parti ketuanan Melayu itu perlu bertanggungjawab terhadap kemusnahan negara yang berlaku ekoran kegagalan urus tadbir Umno, sebelum ini.

Katanya, imej buruk itu harus diakui Ahmad Zahid dan seluruh kepimpinan tertinggi Umno yang tumbang pada, Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Ahmad Zahid mempunyai peranan penting sebagai Presiden Umno selain wakil rakyat di Parlimen, saya juga melihat Umno perlu mengakui kesilapan dan kecurangan yang berlaku sebelum ini.

“Apa yang dilakukan Umno itu sehingga menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang begitu besar seperti sekarang,” katanya pada Majlis Silaturrahim Eidul Fitri, peringkat Gombak dan DUN Gombak Setia, di Taman Berjaya.

Namun Mohamed Azmin berkata, pemilihan Ahmad Zahid diharap dapat menjalankan fungsi terbaik kepada pembangkang untuk menilai gerak kerja pentadbiran Putrajaya.

Katanya, ini termasuk keterbukaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menerima kritikan, selaras keperluan prinsip demokrasi negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid yang dipilih sebagai Presiden Umno. Tentunya saya mengalukan kehadiran Umno sebagai pembangkang di Dewan Rakyat dan ini satu perkembangan sihat dalam demokrasi negara.

“Proses demokrasi ini menetapkan pembangkang ada peranan penting sebagai ‘check and balance’ untuk memastikan Kerajaan Persekutuan dapat menjalankan tugas mereka dengan telus dan bertanggungjawab,” katanya.

Pemilihan Umno menyaksikan Ahmad Zahid yang sebelum ini menjalankan tugas Presiden menang mudah bagi penggal 2018-2021.

Beliau memperoleh 78 undi, manakala calon lain iaitu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing mendapat 53 dan 28 undi, setakat jam 12.30 tengah malam Ahad.

Bagaimanapun, kemenangan Ahmad Zahid menimbulkan pelbagai kritikan umum yang menyifatkan Umno akan terus kekal ditolak rakyat kerana gagal mengubah kepimpinan baru parti.


Pengarang :