NASIONAL

Menteri jamin bekalan daging mencukupi untuk Aidiladha

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Kerajaan akan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan, pada saat akhir dengan memanipulasi harga daging menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, setakat ini Kerajaan memberi jaminan bekalan ternakan hidup khususnya daging mencukupi hasil persediaan, sejak tiga bulan lalu.

“Bekalan cukup, jangan bimbang. Kita akan pastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan dengan memanipulasikan harga kepada pengguna pada saat akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Bahrom ketika sesi pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat.

Pada masa sama, katanya, permintaan lembu dan kerbau bagi tujuan korban tahun ini ialah 50,125 ekor.

Daripada jumlah itu, 12,158 ekor adalah bekalan diimport sementara bakinya adalah jumlah stok bekalan tempatan.

“Bagi bekalan keseluruhan kambing atau bebiri ialah 42,160 ekor dan 11,081 ekor bekalan import bersedia untuk penyembelihan korban,” katanya.


Pengarang :