SELANGOR

Menteri termuda, bukti Pakatan rai suara orang muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JUL: Pemilihan Menteri termuda dalam kabinet Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan gabungan itu meraikan idea golongan muda di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia juga menjadi sejarah terpenting dalam merancakkan lagi agenda pembangunan negara.

“Tahniah diucapkan kepada Yang Berhomat Syed Syaddiq atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

“Menteri Persekutuan termuda dalam sejarah ini menjadi bukti komitmen Pakatan Harapan dalam mengangkat suara dan peranan anak muda dalam pembangunan negara,” katanya di Twitter.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26 dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas mengangkat sumpah di Istana Negara bersama 12 lagi menteri lain, semalam.

Pelantikan Ahli Parlimen Muar turut mendapat liputan meluas media antarabangsa, termasuk negara jiran Indonesia.

Anak kelahiran Pulai, Johor Bahru, Johor itu merupakan graduan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga pernah ditawarkan mengikuti pengajian dari Universiti Oxford United Kingdom dalam bidang Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam.


Pengarang :