NASIONAL

Mesyuarat biro politik khas, bincang isu kerusi Sungai Kandis?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR 3 JULAI: KEADILAN mengadakan mesyuarat biro politik khas di kediaman Presiden parti itu, di Bukit Segambut, malam tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, beberapa pimpinan tertinggi parti itu turut hadir antaranya, Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut kelihatan, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Hadir sama, pimpinan KEADILAN Negeri, Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor dan Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sekiranya mesyuarat berkenaan dipengerusikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau tidak.

Ini kerana, Anwar sebelum ini dilapor sedang berada di Pusat Perubatan Hospital Malaya (PPUM), akibat sakit bahu.

Sementara itu, tiada sebarang liputan media dibenarkan dibuat apabila petugas keselamatan dan polis iringan berkawal di kediaman Timbalan Perdana Menteri itu.

Wujud spekulasi, kemungkinan mesyuarat diadakan susulan kekosongan kerusi Sungai Kandis, ekoran kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei.

Namun, Dato’ Menteri Besar Selangor sebelum ini menegaskan, tempoh terdekat ini bukan waktu terbaik untuk membincangkan calon sesuai bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri, Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK), akan datang.

Shuhaimi, 49 meninggal dunia akibat kanser limfoma tahap empat di Pusat Perubatan Subang Jaya pukul 11.10 pagi, semalam.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21 Shah Alam.


Pengarang :