EKONOMI NASIONAL

Minat pelabur asing terhadap Malaysia terus kekal – Ong

KUALA LUMPUR, 14 JUL: Pelabur asing masih terus berminat untuk ke Malaysia berdasarkan jumlah tunggakan pelaburan diproses Jawatankuasa Kebangsaan Pelaburan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, jawatankuasa itu mengadakan mesyuarat pertama semalam selepas Menteri baharu MITI , Ignatius Darell Leiking mengangkat sumpah.

“Jawatankuasa tersebut tidak dapat mengadakan mesyuarat sejak dua bulan lepas kerana Menteri baharu belum mengangkat sumpah. Melihat kepada tunggakan (pelaburan) itu, saya sendiri teruja untuk menunggu pengumuman positif oleh Menteri dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perbincangan panel ‘Malaysia: where hope leads’ (Malaysia: Ke Mana Hala Tuju Harapan) hari ini.

Sesi itu diadakan bersempena penganjuran Forum Pengurusan Pelaburan Aset Affin Hwang Keempat di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ong berkata terdapat banyak permohonan menerusi MIDA yang mahu mendapatkan maklumat seperti nilai pelaburan langsung asing semasa dan kadar alirannya.

Beliau turut mengingatkan kalangan komuniti pelabur agar tidak bimbang kerana terdapat banyak perniagaan atau syarikat yang berminat untuk memasuki Malaysia.

“Berdasarkan beberapa perbincangan awal yang kita adakan dengan pelabur asing menunjukkan ramai yang berminat ke Malaysia kerana melihat masa depan yang lebih cerah selain tidak lagi perlu menjawab pertanyaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB),” katanya.

Malah, kata Ong, wujud kebimbangan yang keterlaluan dalam kalangan komuniti pelabur mengenai masa depan negara ini.

“Ya, masih ada beberapa projek mega yang dibatalkan tetapi pada masa sama kita turut meneruskan projek dengan nilai ekonomi jangka panjang untuk penduduk tempatan serta negara,” katanya.

Merujuk Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Projek Rel Pantai Timur dan Projek Tun Razak Exchange (TRX), beliau berkata walaupun TRX terpalit dengan skandal 1MDB, kerajaan sekarang percaya ia akan memberi manfaat kepada penggiat tempatan dalam tempoh jangka panjang.

Selain itu, mengulas pelaburan China, Ong berkata sejak beberapa tahun lepas, sejumlah besar pelaburan China di Malaysia ternyata berkait dengan inisiatif ekonomi ‘Obe Belt One Road’ China.

“Apa yang Malaysia tidak sedari adalah kewujudan banyak pelaburan swasta China, terutamanya dalam (sektor) pembuatan dan kita turut menjangkakan akan ada lebih banyak lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menyamakan pelabur China seperti pengeluar Jepun yang berusaha bagi kemajuan perindustrian pada tahun-tahun sebelum ini.

Mengulas perang dagangan Amerika Syarikat-China, beliau sebaliknya menyifatkan pertikaian itu akan mewujudkan lencongan perdagangan dengan para pelabur akan beralih ke destinasi yang dilihat memberi kelebihan kepada perniagaan mereka.

“Dalam senario ini, Malaysia boleh menjadi pintu masuk ke Asia, China dan Amerika Syarikat kerana kita sememangnya mempunyai akses kepada semua pasaran tersebut,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :