SUKANKINI

Mini Cub Prix KBS: Penganjur jalani sesi pemilihan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 JUL: Kejuaraan Mini Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bermula September ini diperkenalkan bagi merancakkan program pembangunan sukan permotoran, di Malaysia.

Satu sesi pemilihan pelumba untuk program biasiswa Mini Cub Prix Junior KBS juga bakal diadakan di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada 8 Julai ini.

Ia diadakan serentak dengan perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di litar berkenaan dan sesi pemilihan bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Sesi pemilihan kategori Mini Cub Prix Junior KBS terbuka kepada peserta yang lahir pada 2006 (12 tahun) sahaja dan hanya 100 peserta terawal membuat pendaftaran layak menyertainya.

“Peserta perlu membuat pendaftaran awal kerana tempat adalah terhad, manakala hanya 14 pelumba terbaik dari keseluruhan yang hadir menyertai sesi pemilihan akan tersenarai untuk menyertai perlumbaan sebenar September nanti,” kata Pengarah Promosi Kejuaraan Cub Prix, Ron Hogg.

Beliau berkata, peserta yang sudah mendaftar dan layak menyertai sesi pemilihan hanya perlu membawa sut perlumbaan lengkap, manakala motosikal perlumbaan akan disediakan penganjur.

Bagi 14 peserta yang terpilih untuk menyertai Kejuaraan Mini Cub Prix Junior KBS, katanya, yuran penyertaan dikenakan berjumlah RM500 untuk satu musim (lima pusingan).

“10 pelumba terbaik keseluruhan bakal menerima slot automatik ke siri perlumbaan satu pengeluar (OMR) Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia musim 2019,” katanya.

Kepada mereka berminat, boleh hubungi Jetlee (012-2999013) atau Reffy (017-2027737).

 


Pengarang :