BERITA UTAMASELANGOR

MK Land sokong manifesto PAKATAN bina rumah mampu milik

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: MK Land Holdings Berhad menyokong manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mahukan 1 juta unit rumah mampu milik dibina.

Pengerusi Eksekutifnya, Felina Tan Sri Datuk Dr Mustapha Kamal berkata, MK Land berusaha menyokong inisiatif itu bermula dengan projek kecil-kecilan, di negeri ini.

“Seperti sedia maklum, MK Land memang banyak membina rumah mampu milik sebelum ini, justeru kita menyokong kerajaan PAKATAN dan Kerajaan Negeri, terutamanya dalam mencapai manifesto itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, MK Land menjemput Dato’ Menteri Besar hadir ke Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku yang akan diadakan, pada 15 Ogos ini, di Bukit Beruntung.

Pada masa sama, Felina berkata, sebanyak 1,380 unit Rumah Selangorku bakal dibina di negeri ini selepas majlis pecah tanah itu berlangsung.

“Kita memang ingin menyokong usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri yang komited membantu rakyatnya memiliki kediaman mampu milik,” katanya.

 


Pengarang :