SELANGOR

Mohd Zawawi optimis bela nasib rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUL: Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, optimis ingin membela nasib rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Mohd Zawawi, 48, berkata beliau akan cuba melaksanakan segala yang pernah dirancang bersama bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) terdahulu, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie.

“Saya akan cuba meneruskan segala yang pernah dirancang Allahyarham Mat Shuhaimi untuk bersama membela rakyat terutama golongan miskin dan kawasan pedalaman yang memerlukan pembelaan.

“Saya yakin pengundi di DUN Sungai Kandis memang memerlukan pembelaan dan hari ini ramai hadir memberi sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera KEADILAN PRK N49 yang diadakan, di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini, sebentar tadi.

Pada masa sama, Mohd Zawawi berkata, beliau juga tidak menjangka namanya diumum sebagai calon.

“Saya langsung tidak menduga, namun kepercayaan yang diberikan ini akan saya cuba laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengumumkan Mohd Zawawi dicalon bagi kerusi N49 menggantikan Allahyarham Mat Shuhaimi.

Mohd Zawawi, graduan Sarjana Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling), Universiti Malaya, bergiat aktif dalam gerakan Reformasi sejak tahun 1998 dan selalu dipilih sebagai penceramah.

Beliau yang juga graduan Sarjana Muda Bahasa Arab, Universiti Al Azhar, Mesir, adalah anak jati Sungai Kandis dan imam di Masjid Al-Naim, sejak 2008.

 


Pengarang :