SUKANKINI

MotoGP: Hafizh Syahrin terus menyerlah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 JUL: Kejayaan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 11 dalam MotoGP Jerman di Litar Sachsenring.

Prinsipal Monster Yamaha Tech3, Herve Poncharal berkata, berdasarkan prestasi semasa, pihaknya yakin Hafizh mampu terus mempamerkan peningkatan pada pelumbaan seterusnya.

“Hafizh menunjukkan semangat juang tinggi serta bijak, dia menduduki tempat kesembilan di Barcelona beberapa pusingan sebelum tamat perlumbaan tetapi melakukan kesilapan.

“Perlumbaan di Sachsenring menunjukkan Hafizh mempelajari kesilapan lalu apabila berlaku persaingan sengit bersama beberapa pelumba ternama dengan yang terakhir, pelumba Suzuki, Andrea Iannone.

“Keputusan dicatat pada MotoGP Jerman ini amat kami banggakan,” katanya dipetik motogp.tech

Dengan mengakhiri perlumbaan di tangga ke 11, Hafizh mengumpul lima mata tambahan untuk jumlah 22 mata dan berada di tempat ke 16 carta keseluruhan pelumba.

Jumlah mata terkumpul turut melonjak Hafizh pada kedudukan teratas ‘rookie’ terbaik mengatasi pesaing terdekat, Franco Mordbidelli (19) serta pelumba baharu lain.

Dengan separuh pelumbaan pertama berakhir, Poncharal berkata, penyertaan dalam peringkat kedua perlumbaan selepas ini memberi kesempatan kepada Hafizh bagi mengukuhkan kedudukan dengan mencipta lebih banyak kemenangan.

“Sekiranya prestasi Hafizh meningkat pada separuh kedua musim ini, tidak mustahil beliau akan keluar sebagai ‘Rookie of the Year’ pada akhir perlumbaan nanti,” katanya.

Selepas MotoGP Jerman, minggu lalu, pelumba akan kembali dengan cabaran seterusnya di MotoGP Republik Czech pada 3 hingga 5 Ogos ini.


Pengarang :