PBTSELANGOR

MPK tidak berkompromi isu peniaga warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 JUL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada peniaga asing.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, warga asing yang mempunyai premis itu adalah pekerja kepada pemilik tempatan.

“Seperti di sesetengah kawasan, mereka ini menggaji pekerja asing adalah bagi memudahkan urusan perniagaan memandangkan lokasi itu merupakan tumpuan warga asing.

“Hasil semakan juga mendapati, pekerja itu mempunyai pas kerja sah dan MPK sentiasa mengadakan operasi dengan agensi lain seperti Jabatan Imigresen,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, MPK sentiasa memantau kawasan di bawah pentadbiran MPK dalam isu ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sekiranya melanggar undang-undang.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 56 premis di Jalan Pos Baru dan Jalan Kepayang diperiksa baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 12 kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan kepada premis berkenaan.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati terdapat ramai pekerja warga asing iaitu Bangladesh dan Indonesia yang bekerja sebagai pembantu jualan,
sebanyak 44 premis mempunyai lesen perniagaan dan iklan sah dan 82 warga asing diperiksa permit perjalanan pekerja.

“Majoriti mereka mempunyai permit pekerja sah dan mereka bekerja bersama warganegara manakala dua orang dibawa dan ditangkap Imigresen kerana tiada pengenalan sah,” katanya.


Pengarang :