PBTSELANGOR

MPS sedia taska sejak 2005

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 10 JULAI: Ketika kebanyakan agensi lain sibuk mengkaji cadangan mewujudkan pusat penjagaan bayi di jabatan masing-masing, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sudah merealisasikannya sejak 2005.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, pusat jagaan yang dinamakan Taska MPS itu kini berada di bawah seliaan Jabatan Khidmat Pengurusan.

Katanya, saban tahun pihaknya menerima permintaan tinggi daripada kakitangan yang mahu meletakkan anak masing-masing di taska berkenaan.

“Kini kita mempunyai 1,300 kakitangan, sudah tentu taska berkenaan tidak dapat menampung permintaan daripada kakitangan yang juga golongan ibu bapa ini, namun saya sudah mengarahkan Jabatan Kewangan MPS membuat kajian bagi membuat penambahan operasi taska.

“Jika kewangan mencukupi, MPS akan melihat sama ada kita perlu membeli atau menyewa premis lain untuk menambah bilangan anak jagaan di bawah taska MPS ini,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, kerajaan mensasarkan untuk mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanak di seluruh agensi perkhidmatan awam persekutuan dan negeri, menjelang 1 Januari 2019.

Selain sektor awam, pihak swasta juga digalak menyediakan kemudahan itu melalui insentif pengecualian cukai 10 peratus selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan bangunan untuk pusat asuhan.

Cadangan itu dibuat selepas tragedi malang yang menimpa bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi di rumah pengasuhnya, baru-baru ini.

 


Pengarang :