PBTSELANGOR

MPSepang tampil 13 muka baru, 10 muka lama Ahli Majlis 2018-2020

OLEH AFIX REDZUAN

CYBERJAYA, 30 JUL: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) secara rasmi melantik 23 daripada 24 orang Ahli Majlis baharu bagi sesi 2018-2020 pada Majlis Angkat Sumpah Menerima Jawatan Ahli Majlis.

Lafaz ikrar sumpah perakuan menerima jawatan berlangsung di hadapan Timbalan Yang Dipertua, Muhammad Hafiz Shaari bersempena Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil7/2018 di Bilik Semarak, Ibu Pejabat MPSepang, Cyberjaya.

Majlis lafaz ikrar dimulakan Orang Besar Daerah Sepang, Yang Dimuliakan Tengku Dato’ Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah dan diakhiri Mohd Shukor Mustaffa.

Muhammad Hafiz dalam ucapannya mengharapkan semua Ahli Majlis dapat bekerjasama bagi merealisasikan visi dan misi menjadikan Daerah Sepang Bersih, Hijau dan Sejahtera.

“Perlantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat serta penting. Ia bukan untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan atau saudara-mara.

“Penglibatan Ahli Majlis dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diharapkan mempercepatkan proses kelulusan Permohonan Kebenaran Merancang dan turut sedia menyediakan prasarana serta kemudahan awam kepada masyarakat setempat yang bakal menikmati limpahan kepesatan pertumbuhan kawasan hasil daripada pembangunan projek ikonik tersebut,” katanya.

Secara keseluruhan KEADILAN mempunyai jumlah tertinggi dengan keanggotaan sembilan Ahli Majlis diikuti DAP (tujuh), AMANAH (empat) dan BERSATU (tiga).

Daripada jumlah itu, 13 daripada Ahli Majlis sesi kali ini merupakan muka baru manakan 10 yang lain muka lama.


Pengarang :