MPSJ berkata insiden pertengkaran antara penguat kuasa dengan peniaga tepi jalan tidak berlaku di kawasan pentadbirannya.
PBTSELANGOR

MPSJ laksana pengurusan lalu lintas KESAS-Persiaran Kewajipan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 31 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan pengurusan lalu lintas bertujuan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, cadangan pelaksanaan yang diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasanya membabitkan Persimpangan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Persiaran Kewajipan.

“Pada 9 Jun lalu, pelaksanaan fasa pertama dan kedua dibuat secara berperingkat iaitu menutup median dari arah USJ ke Lebuhraya Shah Alam dan kini pemantauan sedang dijalankan bagi tempoh dua bulan yang dijangka berakhir, 9 Ogos ini.

“Langkah seterusnya ialah menutup median kedua iaitu dari arah Subang Jaya (dari arah SS13) menuju ke KESAS. Penutupan median ini pula bakal berkuatkuasa bermula jam 12.01 pagi, pada 18 Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MPSJ Bil 07/2018, di Bilik Mesyuarat Kenangan, Aras 2, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Noraini berkata, semua kenderaan dari Persiaran Kewajipan (dari arah SS13) perlu membelok ke kiri jika berhasrat menggunakan laluan KESAS.

“Dua pusingan U disediakan di KESAS, berdekatan persimpangan Persiaran Kewajipan untuk kenderaan menukar arah sama ada untuk ke arah Puchong/Kuala Lumpur atau Shah Alam/Klang.

“Bagi memudahkan pengguna, papan tanda penunjuk aras lalu lintas dan notis pemberitahuan berkenaan serta ‘concrete barrier’ akan diletakkan di lokasi berkaitan bagi melancarkan aliran.

“Ini akan membantu pengguna jalan raya mengikuti sistem pengurusan lalu lintas yang baru dan mereka perlu mematuhi tanda arah menuju ke destinasi masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau optimis terhadap keberkesanan sistem itu yang diyakini dapat mengurangkan tempoh menunggu, di lampu isyarat.

Justeru, katanya, satu jangka masa diperlukan untuk membiasakan pengguna lebuh raya dan penduduk setempat dengan pelaksanaannya.


Pengarang :