PBTSELANGOR

MPSJ perkenal E-Grip, selesaikan masalah parkir motorsikal

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 4 JUL: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memperkenalkan program E-Grip atau kapit motorsikal bagi memudahkan pengurusan lalu lintas lebih teratur dan sistematik.

Timbalan Pengarah, Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, perkenalan program itu untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan parkir motorsikal yang menyebabkan halangan.

Katanya, ia termasuk meletak motorsikal sehingga menghalang petak sewa khas, menghalang petak tempat letak kereta, meletak motorsikal di petak pili bomba, meletak motorsikal di petak Orang Kelainan Upaya (OKU) dan meletak motorsikal di siar kaki lima.

“Pemilik motorsikal yang didapati melanggar peraturan ditetapkan akan dikenakan tindakan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukkan Tempat Letak Kereta) MPSJ 2007 (pindaan (2015) di mana kapit motorsikal (clamping) serta tindakan Notis Tawaran Kompaun akan dikenakan kepada pesalah.

“Cas sebanyak RM 30.00 meliputi Kos Kapit (RM 5.00) , Notis Tawaran Kompaun (RM 20.00) serta Caj Perkhidmatan (RM5.00) akan dikenakan kepada pesalah terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Azfarizal berharap dengan pelaksanaan program ini nanti, akan dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai budaya kepatuhan kepada peraturan jalan raya seterusnya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di masa hadapan.

 


Pengarang :