SELANGOR

Naik taraf Lebuhraya Pulau Indah-Pelabuhan Klang

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 16 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu menimbangkan cadangan untuk melebarkan lorong di Lebuhraya Pulau Indah bagi mengatasi kesesakan sepanjang jaringan itu.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, hal itu kerana lebuh raya terbabit tidak dapat menampung kenderaan yang banyak khususnya kenderaan berat.

Katanya, statistik daripada Westport mendapati kira-kira 2,500 kenderaan berat menggunakan lebuh raya itu, pada Isnin hingga Rabu dan meningkat kepada 3,500, pada Khamis hingga Sabtu.

“Pelabuhan ini menyumbang besar kepada ekonomi negara tetapi menghadapi masalah insfrastruktur.

“Jalan ini tidak sepatutnya dalam keadaan begini. Ia perlu ditambah baik bagi memenuhi kepesatan pembangunan industri,” katanya kepada SelangorKini.

Azmizam berkata, kadar itu semakin meningkat apabila dicampur dengan kenderaan awam dan persendirian yang lain.

Sehubungan itu, beliau mahu lebuh raya terbabit dinaik taraf kepada enam lorong dan mempunyai lorong khas bagi penunggang motorsikal.

“Dengan pelebaran jalan ini, kita dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin meningkat.

“Dalam tiga tahun ini, jumlah kemalangan dicatatkan melebihi 1,000 setahun, justeru kita mahu sifarkannya.

“Jadi, saya berharap Kerajaan Negeri dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini,” katanya.


Pengarang :