NASIONAL

Najib bukan sahaja hilangkan wang tetapi juga sabotaj kerajaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di era pentadbirannya bukan sahaja menyebabkan kerajaan kehilangan berbilion ringgit wang negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Najib turut mensabotaj jentera kerajaan bagi memastikan beliau kekal mempertahankan kuasa yang ada.

“Kerosakan dibuat (Najib Razak) kepada negara ini lebih teruk daripada apa yang kami jangka.

“Bukan sahaja wang dihilangkan berbillion-billion ringgit, tetapi jentera kerajaan sudah disabotaj, sudah ditukar supaya tidak lagi berjalan dengan baik dan terpaksalah kita ambil tindakan untuk membuang beberapa pegawai yang terlibat dalam mempertahankan kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kempem Derma Tabung Harapan Malaysia di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, malam tadi.

Mahathir berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) berusaha memulihkan ekonomi dan jentera kerajaan supaya dapat berjalan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, Najib turut memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 bagi menghalang orang ramai bersuara menentang pentadbiran beliau.

Justeru katanya lagi, kerajaan akan mengambil langkah bagi memansuhkan akta terbabit.


Pengarang :