NASIONAL

Najib dibebaskan selepas bayar ikat jamin

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan selepas selesai melunaskan bayaran ikat jamin berjumlah RM500,000 yang dibuat oleh dua penjamin iaitu anaknya, Nooryana Najwa Mohd Najib dan Norashman Mohd Najib.

Proses pembayaran selesai dibuat sekitar jam 2.45 petang di aras bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sambil diiringi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib meninggalkan perkarangan mahkamah sekitar jam 3.30 petang menaiki kenderaan serbaguna Toyota Vellfire berwarna putih sambil diiringi polis dan enam kenderaan lain.

Mahkamah sebelum itu menetapkan bayaran ikat jamin berjumlah RM1 juta untuk semua pertuduhan dengan dua penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Sofian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam, Muhammad Shafee supaya ikat jamin RM500,000 dibayar hari ini dan bakinya pada hari Isnin, jam 3.00 petang manakala pasport Najib diserahkan hari ini.

Mahkamah menetapkan 8 Ogos 2018 sebagai tarikh pengurusan kes perbicaraan akan berlangsung pada 18 hingga 28 Februari, 4 hingga 8 Mac dan 11 hingga 15 Mac 2019 bagi prosiding perbicaraan.

Dalam prosiding awal, Najib mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap semua empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya berhubung kes berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Beliau didakwa tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM42 juta.


Pengarang :