SELANGOR

Nama calon PRK Sungai Kandis dihantar ke Anwar untuk dimuktamad

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bakal bertemu Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Turki bagi memuktamadkan nama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Sungai Kandis, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari.

“Kita bukan ada dua atau tiga calon sahaja, tetapi lebih daripada itu, ini kerana ada yang mengemukakan calon masing-masing daripada Cabang, Pusat dan Negeri. Kesemua nama yang diberikan ini bertujuan mendapatkan kemenangan di akhirnya.

“Tetapi apa yang saya pasti ialah semua calon ini mempunyai kredibiliti tersendiri dan mampu membawa perubahan yang baik kepada Sungai Kandis,” katanya kepada media.

Dalam masa yang sama Amirudin turut menyatakan kesiapsagaan jenteranya bertemu mana-mana parti pada PRK kali ini.

Katanya, beliau sendiri sudah turun padang bertemu masyarakat bagi mengetahui isu semasa serta bertemu jentera pilihan raya.

“Jentera kami juga sudah bersiap sedia awal, KEADILAN tidak ambil mudah walaupun ada yang menjangkakan kemenangan mudah,” katanya selepas Acara Selangor Industrial Ride 2.0.

=EZY=

 


Pengarang :