Pasukan bola sepak Selangor, Red Giants.
BERITA UTAMASUKANKINI

Nazliazmi: Pemain muda Selangor berpotensi menyerlah hebat

OLEH HAFIZAN TAIB

BUKIT JALIL, 8 JUL: Walaupun Selangor tewas namun Nazliazmi Nasir tetap berpuas hati dengan barisan pemain mudanya yang berjaya memberi cabaran bermakna kepada Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA, malam tadi.

Ketua jurulatih itu mengakui pengalaman memisahkan kedua pasukan dengan Pahang berjaya mengambil kesempatan seterusnya menyudahkan peluang dengan jaringan gol.

“Pahang mengambil kesempatan atas kelebihan pengalaman dengan pemain seperti Faisal Rosli, Bunyamin Umar dan Muslim Ahmad berjaya menyaingi pemain kita dengan bertindak baik dalam perlawanan ini.

“Secara keseluruhan pemain Selangor mempamerkan permainan baik walaupun ada beberapa kesilapan dilakukan pemain muda seperti D Kugan dan Amirul Ashraf namun ia pengalaman bagus untuk mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Pahang mengalahkan Selangor 2 – 0 hasil jaringan Muhd Nor Azam Abdul Azih dan Patrick Dos Santos Cruz.

Beliau berkata, begitupun The Red Giants masih berkemampuan memberi cabaran dengan beberapa serangan biarpun penyerang, Rufino Segovia Del Burgo kelihatan kurang mendapat sokongan dengan barisan tengah agak lambat bertindak.

Bagaimanapun, katanya, Selangor berjaya menafikan Pahang kemenangan mudah dengan gandingan Razman Roslan dan Alfonso De La Cruz Calero menggagalkan beberapa percubaan di depan pintu gol.

“Selepas ini kita akan kembali fokus kepada Liga Super kerana Selangor menghadapi jadul ketat dalam tempoh seminggu dengan menentang Kelantan pada 11 Julai diikuti Kuala Lumpur (15 Julai),” katanya.

Sementara itu, Razman berkata, walaupun sedikit kecewa tak dapat membawa pulang Piala FA tetapi baginya ia pengalaman bagus untuk pemain muda kerana perjalanan karier masih panjang.

“Saya jangkakan dalam tempoh dua ke tiga tahun Selangor akan menjadi lebih baik dengan mentaliti juara di mana mereka muda perlu bekerja lebih keras,” katanya mengingatkan Selangor perlu kembali bangkit untuk fokus pada baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia selepas ini.

=EZY=


Pengarang :