GLOBAL

Negara asing didakwa dalang serangan siber di Singapura

SINGAPURA 23 JUL: Penggodam-penggodam yang bekerja untuk kerajaan asing dipercayai menjadi dalang di sebalik serangan siber terbesar ke atas Singapura, kata beberapa pakar keselamatan yang memetik skala dan kecanggihan penggodaman tersebut sebagai bukti.

Pihak berkuasa Singapura mengumumkan kelmarin bahawa penggodam-penggodam menceroboh pangkalan data pemerintah dan mencuri rekod kesihatan milik 1.5 juta rakyatnya termasuk maklumat kesihatan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang menjadi sasaran utama serangan tidak dijangka itu.

Menteri Kesihatan Singapura, Gan Kim Yong berkata, serangan siber itu bukan perbuatan penggodam biasa ataupun geng penjenayah kerana ia dirancang dengan begitu rapi.

Pihak berkuasa enggan mengulas tentang identiti penggodam-penggodam tersebut kerana faktor ‘operasi keselamatan’, namun pakar-pakar memberitahu agensi berita AFP bahawa serangan sukar itu dan tumpuannya terhadap sasaran berprofil tinggi seperti Perdana Menteri membuktikan ia dilakukan oleh entiti yang bekerja untuk negara asing.

Data penjagaan kesihatan menjadi sasaran penggodam kerana ia boleh digunakan untuk memeras ugut individu-individu yang memegang kuasa, kata ketua eksekutif firma perunding keselamatan siber Lantium, Jeff Middleton.

Sementara itu, seorang bekas hakim Singapura akan mengetuai siasatan ke atas insiden tersebut.

Pihak berkuasa Singapura bagaimanapun menasihati orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan secara tergesa-tergesa mengenai identiti penggodam itu.

Penggodam-penggodam menggunakan sebuah komputer yang dijangkiti perisian hasad atau malware untuk memasuki pangkalan data tersebut antara 27 Jun hingga 4 Julai lalu sebelum aktiviti luar kebiasaan itu dapat dikesan, kata pihak berkuasa.

SUMBER: AFP


Pengarang :