GLOBAL

Operasi menyelamat berjaya, tiada lagi mangsa terperangkap

BANGKOK 11 JUL: Semua 12 budak lelaki dan jurulatih mereka berjaya diselamatkan setelah terperangkap di dalam sebuah gua dibanjiri air selama lebih dua minggu di utara Thailand, kata pasukan khas tentera laut, SEAL semalam sekali gus mengakhiri misi menyelamat sukar yang menjadi tumpuan dunia.

Unit SEAL Thai dan penyelam elit asing mengeluarkan kumpulan terakhir terdiri daripada empat budak lelaki dan jurulatih mereka yang berumur 25 tahun tengah hari semalam melalui laluan sempit dan dipenuhi air.

“Kesemua anggota pasukan bola sepak Mu Ba (Babi Hutan) telah dikeluarkan dari gua tersebut,” kata unit SEAL dalam status di laman Facebooknya.

Kumpulan 12 budak lelaki itu yang berumur antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka, masuk ke Gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai pada 23 Jun lepas selepas sesi latihan bola sepak.

Mereka terperangkap apabila hujan lebat mengakibatkan gua itu dilanda air banjir.

Kumpulan itu terkandas selama sembilan hari dalam suasana gelap-gelita sehinggalah ditemui oleh dua penyelam Britain.

Bagaimanapun, kegembiraan berikutan penemuan tersebut segera padam ekoran pihak berkuasa sukar merancang pelan selamat untuk mengeluarkan mereka.

Kumpulan itu berada di sebuah tebing sejauh empat kilometer dari pintu gua, manakala pasukan penyelamat terpaksa me­nempuh laluan sempit, berliku dan berbahaya selama lima jam untuk sampai dengan ketua operasi menyelamat pernah me­nganggap usaha mengeluarkan mereka sebagai ‘misi mustahil’.

Usaha menyelamat di Gua Tham Luang itu turut menerima sokongan daripada selebriti di seluruh dunia seperti Pre­siden Amerika Syarikat, Donald Trump, bintang bola sepak, Lio­nel Messi dan taikun teknologi, Elon Musk.

Sementara itu, pihak berkuasa akan memberi tumpuan kepada kesan fizikal dan mental tragedi tersebut terhadap kumpulan kanak-kanak berkenaan.

Pakar-pakar sebelum ini memberi amaran bahawa perbuatan meminum air gua yang tercemar atau terdedah kepada najis burung dan kelawar di dalam gua itu boleh menyebabkan jangkitan berbahaya.

Mereka juga menyatakan bahawa kumpulan itu memerlukan kaunseling untuk menangani trauma psikologi akibat terperangkap sebegitu lama tanpa pasti sama ada mereka akan hidup ataupun sebaliknya.

SUMBER: AFP


Pengarang :