SELANGOR

PAKATAN optimis kekal di DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 JUL: Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari, berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis terus menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) dengan mengekalkannya di kawasan itu pada pilihan raya kecil (PRK), 4 Ogos ini.

Dengan prestasi cemerlang mentadbir Kerajaan Negeri sejak 2008, PAKATAN optimis mengekalkan DUN berkenaan dengan calonnya, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang akan ditentang Barisan Nasional (BN) menerusi Datuk Lokman Noor Adam dan calon BEBAS, K Murthy.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Shuhaimi Shafiei, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.

Walaupun suasana menghadapi PRK ini agak perlahan ekoran baharu sahaja berakhir PRU14 namun Amirudin yakin ia bakal berubah apabila memasuki fasa terakhir dalam kempen meraih undi yang akan dihadiri ramai pimpinan kanan KEADILAN dan PAKATAN di DUN itu nanti.

“Jentera kita sedang giat berkempen termasuk menghubungi semua pihak berkaitan agar pengundi keluar beramai-ramai menjalankan tanggungjawab pada hari mengundi bagi memastikan kemenangan PAKATAN dengan peratusan tinggi.

“Sebahagian besar pengundi di SUN Sungai Kandis menetap di situ dan hanya sebahagian diluar tetapi masih di sekitar Selangor juga Kuala Lumpur maka saya berharap mereka balik bagi membuktikan sokongan berterusan kepada kerajaan Persekutuan dalam proses pemulihan negara,” katanya kepada media di sini, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, maklum balas daripada rakyat setakat ini sangat baik dengan kempen PRK berjalan lancar dan aman berbanding keadaan dilalui ketika BN mentadbir negara.

Katanya, dengan kejayaan mengambilalih pentadbiran negara pada PRU14 dan prestasi cemerlang di Selangor, PAKATAN optimis dengan sokongan rakyat bagi mengekalkan DUN Sungai Kandis.

“Rakyat menyatakan sokongan dengan baik selama ini kepada Kerajaan Negeri di Selangor dan ia menjadi sandaran agar berterusan dalam PRK ini.

“Isu perkauman menjadi modal utama BN sejak dahulu juga tidak relevan dengan kita buktikan dalam tiga PRU lalu apabila berjaya melepasi halangan itu dengan bukti dan prestasi Kerajaan Negeri terutamanya,” katanya.


Pengarang :