SELANGORSENI

Pameran EPITOME tampil karyawan seni foto

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 JUL: Galeri Seni Shah Alam (GSA) buat julung kalinya menganjurkan Pameran Tangkap Gambar EPITOME, yang menyajikan himpunan 60 imej berkonsepkan perspektif sendiri.

Sepanjang pameran berlangsung mulai 4 hingga 27 Julai itu, GSA bakal menampilkan kesemua imej yang diambil oleh lima karyawan seni foto.

Pengarah merangkap Ahli Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor, Prof Raja Dato’ Zahabuddin Raja Yaacob berkata, empat daripadanya mempunyai latar belakang seni reka grafik, yang berkongsi cerita dan ekspresi seni.

Katanya, setiap jurufoto memilih 12 gambar mewakili minat dan citarasa yang daripada persekitaran yang menjadi pilihan mereka.

“Ini merupakan kajian visual tentang bahan dan perkara, sudut pandangan serta peristiwa, semulajadi juga buatan manusia, disengaja atau tidak, selain jelas atau sebaliknya.

“Selain itu, imej ini mengandungi suara dalaman yang berkait rapat dengan waktu dilihat dari permulaan atau pengakhiran, selepas atau sebelum dan kaleidoskopik pengalaman yang membentuk ingatan serta pemikiran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Tangkap Gambar 2018 dan Sambutan Hari Raya Edulfitri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Zahabuddin berkata, pemeran terbabit bertujuan mengetengahkan pemahaman seni foto ke arah lebih baik.

“Perkembangan seni foto akan dilihat dari semasa ke semasa, malah kita bakal mengambil insiatif untuk mengadakan pertandingan fotografi dari peringkat sekolah, dewasa hingga profesional.

“Kami mahu orang ramai melihat bahawa seni fotografi itu bukan sekadar rakaman yang diterjemahkan melalui lensa kamera sahaja, tetapi ia sebenarnya seni yang perlu membawa maksud bagi setiap imej,” katanya.

Galeri Shah Alam akan dibuka antara jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sempena pameran itu, bagi memberi peluang orang ramai melihat koleksi imej berkenaan.

=EZY=


Pengarang :