NASIONAL

Parlimen ke-14 bakal saksikan kelainan bermula Isnin ini

KUALA LUMPUR 14 JUL: Persidangan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 yang bermula Isnin ini bakal kembali riuh rendah dengan suara dan hujah seramai 222 Anggota Parlimen termasuk 90 wakil rakyat yang baharu selain menampilkan kelainan dalam landskap institusi itu.

Persidangan kali ini mencatat sejarah negara apabila buat julung kalinya para Anggota Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), yang kebanyakan mereka sebelum ini menduduki barisan kedudukan pembangkang pada sesi Parlimen sebelum ini, kini ditempatkan di barisan kedudukan kerajaan.

Ini susulan kejayaan PH menumbangkan Barisan Nasional, yang memerintah negara sejak mencapai kemerdekaan 60 tahun lepas, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas.

PH, yang membawa suara baharu Malaysia, pastinya menjadi tumpuan rakyat yang mahu melihat kehebatan wakil-wakil rakyat mereka beraksi’ pada sesi persidangan kali ini.

PELANTIKAN SPEAKER

Persidangan Mesyuarat Penggal Pertama itu dijadual berlangsung selama 20 hari bermula 16 Julai hingga 16 Ogos ini.

Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat bakal menjadi urusan utama persidangan itu sebelum upacara mengangkat sumpah jawatan Anggota Parlimen, kata Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah kepada media selepas raptai penuh Istiadat Mesyuarat Pertama Penggal Pertama itu.

Beliau berkata ia akan dimulakan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengemuka usul pertama iaitu pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, yang hingga saat ini masih menjadi tanda tanya ramai.

Semenjak tiga minggu lepas, beberapa nama dikatakan bakal menyandang jawatan itu termasuklah bekas hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang dilihat sebagai calon yang paling layak.

Selepas usul pelantikan itu, acara mengangkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat akan dijalankan diikuti sesi mengangkat sumpah kesemua Anggota Parlimen itu, yang didahului oleh Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan barisan kabinet, di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selesai upacara itu, pemilihan dua timbalan speaker pula diadakan, katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadual berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen ke-14 pada keesokannya.

MASIH BELUM TETAPKAN NAMA

Wakil media yang memasuki Dewan Rakyat mendapati tanda nama di tempat duduk Anggota Parlimen masih dikosongkan termasuk di barisan pembangkang yang akan melaksanakan tugas ‘semak dan imbang’ kerajaan sedia ada.

Roosme yang merupakan Ketua Setiausaha Dewan Rakyat wanita pertama sejak dilantik pada 2007 menganggap persiapan bagi persidangan pertama kali ini sangat mencabar.

Walaupun keputusan PRU14 sudah dimuktamadkan, namun sehingga kini susunan tempat duduk itu masih lagi dilakukan, katanya.

“Ada Anggota Parlimen yang merupakan calon Bebas ketika PRU dan kemudian memohon menganggotai parti-parti tertentu termasuk PKR. Ada juga anggota pembangkang yang memohon untuk tidak lagi bersama pembangkang dan memilih menjadi ahli Bebas, ” katanya.

Menurut amalan biasa negara-negara berparlimen, bahagian kanan di dalam Dewan Rakyat terdiri daripada kerajaan dan penyokongnya dengan kerusi pertama adalah untuk Perdana Menteri diikuti barisan kabinetnya manakala barisan kiri menempatkan Ketua Pembangkang dan barisan pembangkang.

Namun, Roosme menjangka persidangan kali ini akan lebih menarik terutama dengan 90 muka baharu yang buat pertama kalinya akan mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen selain 11 muka lama yang membuat penampilan semula sebagai Anggota Parlimen.

Tun Dr Mahathir, 93, yang mewakili Parlimen Langkawi dan P. Prabakaran, 22, yang mewakili kawasan Batu juga mencipta sejarah tersendiri apabila masing-masing menjadi Anggota Parlimen paling tua dan paling muda dalam sejarah negara.

Selain itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sebelum ini di barisan pembangkang, menduduki barisan kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama dan wakil rakyat bagi Pandan.

 

CADANGAN USUL

Beberapa usul dijangka dibentangkan pada sesi pertama itu termasuk cadangan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan cadangan memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cadangan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma).

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan pada 1 April lepas dengan tujuan mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pula diluluskan pada 7 April 2014 dengan menetapkan kadar GST 6 Peratus.

Kerajaan PH yang mengambil alih tampuk pemerintah negara kemudian mengenakan GST kepada sifar peratus bermula 1 Jun lepas.

Roosme memberitahu bahawa pihaknya telah menerima banyak soalan daripada Anggota Parlimen untuk dikemukakan pada sesi pertanyaan pada persidangan itu.

Beliau turut berharap Anggota Parlimen yang dipilih rakyat itu dapat menjalankan tugas dengan baik dan berdisiplin di dalam dewan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :