Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
NASIONAL

Parlimen: Tindakan senarai hitam peminjam PTPTN sebelum ini tidak adil

KUALA LUMPUR 23 JUL: Tindakan kerajaan terdahulu menyenarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat pembayaran balik dianggap tidak adil, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, disebabkan itu kerajaan Pakatan Harapan, semasa Pilihan Raya Umum ke-14, menetapkan dalam janji manifesto untuk mengeluarkan peminjam terbabit daripada senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

“Pertamanya, kenapa kita masuk janji (untuk keluarkan peminjam PTPTN daripada senarai hitam) ini dalam manifesto PH, kerana freedom of movement adalah hak asasi manusia.

“Kedua, kalau lihat seseorang yang ada hutang dengan bank, nama mereka tidak akan terus masuk senarai hitam Jabatan Imigresen apabila mereka henti buat bayaran atau pembayaran tak konsisten. Sebaliknya, nama mereka hanya akan disenarai hitam apabila mereka jadi seorang bankrap,” katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Dr. Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang ingin tahu mengapa keizinan peminjam PTPTN untuk bebas ke luar negara itu menjadi kriteria penting kepada kerajaan Pakatan Harapan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :