BERITA UTAMANASIONAL

Peguam dan wartawan cita-cita asal Tun M dan Tun Siti

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JUL: Berbeza dengan Perdana Menteri terdahulu dilahirkan dalam keluarga bangsawan, sebaliknya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana.

Dalam satu wawancara santai rancangan Astro Gempak sempena ulang tahun kelahiran ke-93 tahun Mahathir dan ke-92 tahun isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Mahathir berkata beliau melupakan cita-cita menjadi peguam apabila gagal memperolehi biasiswa bidang itu.

“Saya ingin menjadi peguam tetapi saya tak dapat biasiswa sebaliknya saya dapat biasiswa perubatan di universiti,” katanya kepada pengacara rancangan tersebut, Kashika.

Ketika menjawab soalan pengacara berusia 10 tahun itu sama ada dirinya juga boleh menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, Mahathir berkata Kashika juga boleh jadi Perdana Menteri sekiranya bekerja keras, berbuat baik kepada semua orang, memenangi sokongan ramai, berpegang pada janji, buat perkara betul, berpegang pada janji dan tidak menipu.

Mahathir berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka beliau berjaya menduduki kerusi nombor satu negara itu kerana dirinya bukanlah berasal daripada keluarga kelas atasan.

“Saya tak pernah terfikir akan dapat jadi Perdana Menteri sebab saya bukanlah sesiapa, keluarga saya bukanlah dari kelas atasan. Saya hanya anak guru sekolah tetapi saya tetap cuba bertanding dalam pilihan raya dan menang,” katanya pada program wawancara yang diadakan di kediaman Perdana Menteri.

Sementara itu, Siti Hasmah pula terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang wartawan selepas ibunya jatuh sakit ketika zaman pemerintahan Jepun.

“Saya nak jadi wartawan sebab saya banyak membaca dan menulis tetapi ketika zaman pendudukan Jepun, ibu saya sakit teruk, jadi saya ubah fikiran saya untuk jadi seorang doktor,” katanya pula.

Kashika turut mengemukakan beberapa soalan yang berjaya menonjolkan sisi lain Mahathir dan Siti Hasmah.

Antaranya, Mahathir dan Siti Hasmah diminta berikan gambaran terhadap pasangan masing-masing dalam tiga perkataan dan kelemahan pasangan masing-masing.

Selain itu, antara yang paling menarik apabila Kashika meminta supaya Siti Hasmah mencium Mahathir di depan kamera.

Selepas selesai sesi wawancara, pasangan tersebut diberikan kejutan sebuah kek hari jadi yang memaparkan Jalur Gemilang dan bunga kebangsaan, kolaj foto serta ucapan 93 orang yang menyimpan hasrat untuk bertemu pasangan itu.


Pengarang :