EKONOMISELANGOR

Pelabuhan Klang bakal jadi kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Pelabuhan Klang bakal dijadikan sebagai kawasan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) kedua selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim berkata, cadangan itu boleh direalisasikan berpandukan kepada kebolehan pasaran pusat industri itu.

Katanya, komitmen itu selaras visi pembaharuan penjenamaan prospek pelaburan ekonomi negeri yang baharu.

“Ia masih di peringkat perancangan ketika ini, kerana tumpuan utama kita ketika ini adalah untuk mengukuhkan perkembangan pembangunan positif zon bebas digital KLIA terlebih dahulu.

“Kerajaan Negeri melihat kepada potensi Pelabuhan Klang ini kerana kedudukan lokasinya yang strategik dalam tempoh beberapa tahun ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Forum Pelaburan Industri Pengangkutan Logistik dan pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index, di Hotel Concorde, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Sementara itu, Selangor turut mensasarkan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai destinasi 10 pelabuhan terbaik dunia.

“Kita perlu bergerak lebih pantas bagi memastikan perancangan ini boleh dilaksanakan secepat mungkin.

“Memandangkan keperluannya sangat terhad, kami cukup optimis ia boleh direalisasikan kerana kita mempunyai keupayaan yang cukup untuk memastikan perancangan ini boleh dicapai,” katanya.


Pengarang :