SELANGOR

Pelantikan Khairuddin Timbalan Speaker DNS tepat – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUNGAI BULOH, 7 JUL: Pelantikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) disifatkan sebagai tepat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan pengalaman Mohd Khairuddin selama dua penggal sebagai ADN dan sebagai pengamal undang-undang sebelumnya.

“Beliau sememangnya layak menyandang kerusi Timbalan Speaker kerana pengalaman luasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Menteri Luar Bandar dan Timbalan Speaker di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Paya Jaras.

Amirudin turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Paya Jaras kerana memberi kemenangan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Sebelum itu majlis rumah terbuka yang bermula sejak jam 12 tengah hari berlangsung meriah apabila dihadiri lebih 3,000 hadirin.

Pada majlis itu Amirudin bersama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa dan Mohd Khairuddin turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Turut hadir ADN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan ADN Kota Damansara, Shatiri Mansor.


Pengarang :