SELANGOR

Pembukaan Persidangan DNS bermula 3 September

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 JUL: Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) Yang Ke-14 Tahun 2018 bakal bermula 3 September ini.

Speaker DNS, Ng Sue Lim berkata, Istiadat Pembukaan itu akan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Pada perasmian itu nanti baginda dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan untuk berangkat sekaligus merasmikan pembukaan persidangan itu nanti,” kata Sue Lim kepada Media Selangor di Pejabat Speaker DNS, Bangunan Annex, SUK di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas itu mesyuarat akan dimulakan dengan perbahasan menjunjung kasih ke atas titah ucapan baginda.

Kata Sue Lim, beliau berharap supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) mengambil kesempatan untuk mengambil bahagian perbahasan sepanjang persidangan berlangsung.

Katanya lagi, ADN hendaklah mematuhi peraturan DNS seperti dititahkan baginda semasa sembah mengadap baginda di Istana Bukit Kayangan baru-baru ini.

“ADN juga diingatkan supaya menjauhkan perkara tidak diingini seperti berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.


Pengarang :