EKONOMI

Pengaliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti semakin berkurangan

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Aliran keluar dana asing dalam pasaran ekuiti tempatan masih terkawal dan semakin berkurangan, demikian menurut penganalisis dan pemerhati pasaran.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata julat jualan bersih asing kekal di bawah RM200 juta mulai minggu bermula 2 Julai hingga 13 Julai, kecuali pada 6 Julai yang menyaksikan aliran keluar yang tinggi sebanyak RM393.6 juta bersih, yang dikaitkan dengan penguatkuasaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import China.

Untuk minggu yang baru berakhir, tidak termasuk Jumaat, aktiviti jualan bersih asing kurang daripada RM100 juta, kecuali pada Rabu, apabila pasaran tempatan menyaksikan aliran masuk bersih RM71.7 juta.

Oleh itu, jumlah jualan bersih asing bagi minggu lepas, tidak termasuk Jumaat ,berjumlah RM182.5 juta bersih berbanding RM531.8 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, katanya.

“Kami menjangkakan aliran keluar asing akan terus rendah jika tiada berlaku sebarang keadaan yang tidak dapat dielakkan, dan pelabur asing akirnya akan beransur-ansur kembali ke pasaran Malaysia,” katanya.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :