NASIONAL

Penyokong Najib bikin kecoh, sidang media dibatalkan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Tindakan tidak matang sekumpulan individu yang dipercayai penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan kekecohan dengan melaungkan perkataan ‘Melayu’ mengakibatkan sesi sidang media membabitkan Peguam Negara, Tommy Thomas terpaksa dibatalkan.

Beliau yang baru sahaja keluar dari Mahkamah Tinggi usai prosiding pendakwaan Najib sepatutnya bercakap kepada media yang menanti sejak jam 11 pagi untuk mengetahui perkembangan prosiding hampa apabila Tommy Thomas bertindak meninggalkan sidang media.

Kekecohan dilakukan dipercayai kerana mahu menuntut Tommy Thomas mengadakan sidang media dalam Bahasa Malaysia.

Susulan tindakan itu, Tommy Thomas terpaksa diiringi polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Keadaan itu nyata mengecewakan petugas media tempatan dan antarabangsa yang mula hadir bagi membuat liputan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak jam 6.30 pagi.

=EZY=


Pengarang :