NASIONAL

Perancangan keluarga hak asasi manusia

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 13 JULAI: Hari Penduduk Sedunia bertema Perancangan Keluarga adalah Hak Asasi Manusia bertujuan mengetangah dan meningkat kefahaman serta kesedaran masyarakat umum mengenai hubung kait di antara penduduk juga pembangunan negara.

Unit Komunikasi Korporat Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkata, ia adalah hak asasi manusia kepada akses perancangan keluarga secara sukarela dan selamat di mana ia satu keperluan asas kesihatan reproduktif.

“Ia memberi hak kepada keluarga terutama wanita untuk merancang dan menjarakkan kehamilan sekali gus memastikan ibu dan anak memperoleh manfaat kesihatan optimum.

“Perancangan keluarga secara sukarela dan selamat tidak hanya membantu mengurangkan risiko kematian maternal dan kecacatan bayi disebabkan kehamilan juda kelahiran terlalu awal atau lewat malah membantu mengurangkan kadar kemiskinan sesebuah negara,” katanya sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia ke 29, kelmarin.

Hari Penduduk Sedunia mula diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1989.

Pada peringkat global, LPPKN berkata, kemudahan itu termasuk perancangan keluarga adalah agenda baharu ditetapkan dalam Maltamat Pembangunan Lestari (SDG) 2015 – 2030 bagi membangunkan keluarga dan masyarakat sihat.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah kematian maternal di negara ini menurun daripada 40 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1991 kepada 24 dengan kadar sama pasa 2015.

“Antara faktor penyumbang kepada pengurangannya adalah akses luas kepada perkhidmatan kesihatan profesional serta peningkatan akses kepada perkhidmatan dan maklumnat perancangan keluarga berkualiti.

“Untuk rekod, amalan perancangan keluarga di negara ini masih pada peringkat sederhana dengan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh LPPKN pada 2014 mendapati kadar penggunaan kontraseptif dalam kalangan wanita berkahwin berumur 15 hingga 49 tahun kekal stabil dalam lingkungan 52 hingga 55 peratus di antara 1984 hingga 2014.

“Pemilihan kaedah kontraseptif moden meningkat daripada 30.3 peratus pada 1984 kepada 34.3 peratus pada 2014 dan ia perlahan-lahan menggantikan kaedah kontraseptif tradisional,” katanya.

Justeru, LPPKN memaklumkan, akses kepada perancangan keluarga dan kesihatan reproduktif diperluaskan serta boleh didapati melalui rangkaian hospital dan klinik kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan selain klinik Nur Sejahtera kendaliannya, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), farmasi dan pusat perubatan swasta.

“Semua usaha itu bagi memastikan kebolehaksesan, kemampuan dan liputan penuh terhadap perancangan keluarga dan perkhidmatan kesihatan reproduktif di bandar juga luar bandar dapat dicapai,” katanya.


Pengarang :