GLOBAL

Perang perdagangan Amerika- China menjadi semakin buruk

GLOBAL 12 JUL: Amerika Syarikat (AS) dan China berbalas serangan dalam perang perdagangan yang semakin meningkat dengan Washington mengancam akan melaksanakan tarif baharu berjumlah AS$200 bilion (RM804.9 bilion) ke atas barangan China, manakala Beijing berjanji akan bertindak balas.

Langkah terbaharu dalam konflik perdagangan yang semakin buruk antara dua kuasa utama ekonomi dunia itu berlaku beberapa hari selepas Washington dan Beijing saling melaksanakan tarif berjumlah AS$34 bilion (RM136.8 bilion) ke atas barangan pihak lawan.

Penganalisis-penganalisis memberi amaran bahawa ketegangan antara dua kuasa besar itu boleh menjejaskan ekonomi global dan mencetuskan kesan buruk lebih meluas ke seluruh dunia.

Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer lewat kelmarin menuduh China melaksanakan tindak balas terhadap tarif Washington ‘tanpa sebarang asas undang-undang ataupun justifikasi antarabangsa’.

Justeru, Presiden Donald Trump mengarahkan Jabatan Perdagangan untuk memulakan proses ‘mengenakan tarif 10 peratus ke atas tambahan import China bernilai AS$200 bilion’, kata Lighthizer dalam satu kenyataan.
Pegawai-pegawai akan mengadakan sesi pendengaran pada akhir Ogos depan berkaitan produk China yang akan dikenakan tarif itu dan masa sekitar dua bulan diperlukan untuk memuktamadkannya. Bagaimanapun, kata putus berhubung pelaksanaannya berada di tangan Trump.

Matlamatnya adalah untuk melaksanakan tarif 40 peratus ke atas import China, menyamai jumlah tarif yang dikenakan oleh Beijing dalam tindak balasnya ke atas barangan AS, kata seorang pegawai kepada pemberita.

Sekiranya langkah tersebut dilaksanakan, ia bermakna cukai baharu akan dikenakan ke atas beribu-ribu produk termasuk ikan, bahan kimia, logam dan tayar.

SUMBER: AFP


Pengarang :