GLOBAL

Perang perdagangan Amerika Syarikat-China bermula

WASHINGTON 7 JUL: Tarif atau cukai import berjumlah AS$34 bilion (RM137.9 bilion) yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas import China berkuat kuasa selepas tarikh akhir tamat semalam dengan Beijing menyatakan, ia tiada pilihan melainkan bertindak balas ketika perbalahan antara dua gergasi ekonomi berkenaan makin meruncing.

Beberapa jam sebelum langkah itu berkuat kuasa, Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa AS mungkin akan menyasarkan barangan China bernilai AS$500 bilion (RM2.02 trilion) untuk dikenakan tarif atau bersamaan keseluruhan import AS dari China tahun lalu.

Jabatan Perdagangan China dalam satu kenyataan balas selepas tarif tersebut berkuasa memberitahu, Beijing terpaksa bertindak balas dengan mengenakan tarif 25 peratus ke atas import AS, juga bernilai AS$34 bilion termasuk produk automobil dan pertanian.

“China berjanji tidak akan melancarkan serangan pertama tetapi kami juga perlu melindungi kepentingan teras kami dan kepentingan rakyat, justeru kami tiada pilihan melainkan menyerang balas,” kata Kementerian Perdagangan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tindakan AS itu melanggar undang-undang perdagangan dunia dengan Washington memulakan perang perdagangan terbesar dalam sejarah ekonomi.

“Kita boleh katakan bahawa perang perdagangan AS-China telah bermula secara rasmi,” kata Chen Feixiang yang merupakan seorang profesor ekonomi di bandar raya Shanghai.

“Jika ia berakhir dengan AS$34 bilion, perang ini akan mengakibatkan impak terhad terhadap ekonomi kedua-dua negara, namun, jika ia meningkat dan membabitkan nilai AS$500 bilion seperti yang dikatakan oleh Trump, maka kesannya besar kepada AS dan China,” tambahnya.

Penganalisis-penganalisis ekonomi juga bimbang perang perdagangan AS-China sekiranya berlanjutan, akan menjejaskan pengeluar dan pengimport barangan yang dikenakan tarif tersebut sekali gus memberi tamparan terhadap perdaga­ngan, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi global.

Dalam pada itu, indeks penanda aras Shanghai susut 22 peratus sejak Januari lalu apabila Trump mengenakan tarif pertama membabitkan import panel solar.

Indeks berkenaan jatuh 9 peratus sejak 19 Jun lalu pula apabila Trump membentangkan rancangan untuk mengenakan cukai ke atas lebih banyak import China berbanding usul sebelumnya.

Ahli-ahli ekonomi berkata, setiap AS$100 bilion (RM405.7 bilion) import yang terjejas akibat tarif AS atau China akan mengakibatkan perdagangan dunia susut sekitar 0.5 peratus dengan impak segera lebih dirasai oleh China berbanding AS.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :