SELANGOR

Perangsang Selangor sasar selesai penstrukturan air

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) mensasarkan untuk menyelesaikan isu penstrukturan air, di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Operasi KPS, Suzila Khairuddin berkata, ia antara matlamat utama Kerajaan Negeri seperti dimaklumkan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sebelum ini.

“Kami daripada KPS turut komited menyelesaikannya dan ia akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini selepas Program Cergas Sihat KPS, di Plaza Perangsang, pagi tadi.

KPS mempunyai 30 peratus kepentingan dalam Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

Sebelum ini, penstrukturan air tidak mendapat kata putus memandangkan Selangor bergelar negeri pembangkang di peringkat Persekutuan.

Malah pengambilalihan sepenuhnya juga sukar dibuat susulan keengganan Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) masih belum mengemukakan nilai sebenar ekuiti rundingan.

Kelewatan itu menyebabkan proses rundingan gagal dimuktamadkan walaupun di peringkat Kerajaan Negeri, jumlah nilai ekuiti sebenar sudah dinyatakan menerusi lantikan panel penilai negeri.

 


Pengarang :