SUKANKINI

Persaingan terbuka, tiada pelumba pilihan

SHAH ALAM, 21 JUL: Pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran akui persaingan kelas itu kini semakin terbuka dan tiada pelumba pilihan untuk memenangi perlumbaan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka yang berlangsung hari ini dan esok.

Walaupun diletakkan antara pelumba pilihan, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu muncul juara pusingan kedua di MAEPS, Selangor melalui pertarungan sengit bersama Mohd Akid Aziz manakala perlumbaan pusingan pertama di Tangkak, Johor menjadi milik juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin.

Kemenangan tersebut membantu Afif naik ke kedudukan pertama keseluruhan dengan 45 mata namun diekori rapat oleh Kasma dengan 41 mata.

“Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan lepas. Ia satu kemenangan yang sangat sukar. Pada masa sama, jika dilihat secara keseluruhan, persaingan tahun ini dijangkakan akan lebih sengit.

“Malah pelumba jentera Honda juga sudah mula menunjukkan peningkatan ketara dan mempamerkan keupayaan sebenar mereka.

“Jadi tidak mustahil kita akan dapat melihat pemenang-pemenang yang berbeza dalam setiap pusingan,” kata naib juara keseluruhan CP150 musim 2017 itu.

Katanya, persaingan sengit seperti itu memaksa pasukannya bekerja keras mendahului kelompok hadapan.

“Mudah-mudahan sesiapa sahaja diantara kami bertiga dapat menaiki podium pada minggu ini,” katanya.


Pengarang :