AGAMASELANGOR

Pertahan dan mantapkan institusi tahfiz

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 JUL: Pengetua Sekolah Tahfiz yang menjadi Calon N49 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis akan terus mempertahankan institusi itu supaya terus diperkasakan serta dimantapkan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, institusi tahfiz ketika ini tidak seharusnya dipandang enteng kerana ramai pelajar daripada institusi itu dilahirkan sebagai golongan profesional.

Katanya, pelajar tahfiz berjaya dalam pembangunan modal insan kelas pertama antaranya menjadi jurutera, doktor, wartawan, pensyarah dan sebagainya.

“Hari ini, kita berada di institusi tahfiz yang terbaik di Selangor, malah ada tiga lagi di kawasan lain.

“Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan institusi ini, jadi apabila ada suara ketinggalan zaman itu, ia tidak munasabah.

“Kita seharusnya ke hadapan untuk membangunkan institusi ini dalam masyarakat kerana mereka ini bukan sahaja menjadi penghafaz al-Quran, tetapi menjadi insan kelas pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi, di Alam Impian, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Biro Pemahaman Dan Pemantapan Agama Keadilan, Dr Muhammad Nur Manuty.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya akan terus mempertahankan institusi itu selain menambahbaik infrastruktur dan pengurusan di sekolah tahfiz, khususnya kawasan beliau.

Malah, katanya, beliau akan cuba membantu Maahad Tahfiz persendirian dalam usaha mengembangkan dan memelihara agama Islam.

“Masalah utama yang dihadapi pengusaha maahad tahfiz adalah tidak mendapat permit daripada Bomba dan Pihak Berkuasa Tempatan kerana banyak sekolah berada di premis perniagaan atau kawasan persendirian.

“Bagaimanapun, saya akan mencuba sedaya upaya untuk membantu urusan sekiranya mahu menaiktaraf atau memantapkan ilmu tenaga pengajar dengan kursus,” katanya.

 

 


Pengarang :