SUKANKINI

Piala FA: Pahang juara, atasi Selangor 2 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

BUKIT JALIL, 7 JUL: Pahang menjuarai Piala FA 2018 dengan menewaskan Selangor 2 – 0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Gol skuad Tok Gajah dihasilkan Muhd Nor Azam Abdul Azih dan Patrick Dos Santos Cruz yang memberikan kejuaraan ketiga kepada mereka dan menebus kehampaan musim lalu.

Jaringan Muhd Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-23 terhasil melalui percubaan dilakukan pemain itu dengan rembatan kencang di luar kotak penalti.

Gol terbabit merancakkan perlawanan dan Selangor mula memberi tekanan kepada pasukan bimbingan Dollah Salleh dengan serangan balas pantas.

Sepakan bebas dilakukan ketua pasukan, Mohd Amri Yahyah (m38) sekadar melewati palang gol Pahang.

The Red Giants terus melancarkan serangan bersambung babak kedua dan cubaan Rufino Segovia Del Burgo (m58) sekadar sipi melepasi tiang.

Dua minit selepas itu Pahang menggandakan gol hasil sepakan penalti Patrick Cruz selepas Alfonso De La Cruz Calero dilayang kad kuning akibat mengasari Amanchi Augustine Iwuji.

Skuad kendalian Nazliazmi Nasir cuba bangkit dengan beberapa serangan selepas itu namun gagal menyudahkan dengan ledakan gol.

Keputusan kekal hingga akhir perlawanan yang menghampakan The Red Giants untuk menghadiahkan kemenangan buat Presiden baharu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.


Pengarang :