NASIONAL

Pindaan had umur perkahwinan ke Dewan Rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Kerajaan Persekutuan akan membentangkan pindaan untuk menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 kepada 18 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pindaan itu akan dilakukan pada persidangan Dewan Rakyat, yang bermula 16 Julai ini.

Katanya, ia bagi memastikan hak dan kepentingan kanak-kanak, termasuk berkaitan isu perkahwinan dilindungi sepenuhnya.

“Usaha berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kita rasa elok sekarang dinaikkan had umur perkahwinan daripada 16 kepada 18 tahun. Kita perlu memperhalusi kes ini secara menyeluruh.

“Berdasarkan perincian daripada seorang hakim Mahkamah Syariah yang saya temui, perkahwinan mereka tidak sah dan terbatal kerana tidak mendapat kelulusan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bersama lebih 2,000 anak yatim bagi mengulas tindakan peraih getah berusia 41 tahun, di Kelantan mengahwini kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang difahamkan berasal dari selatan Thailand, baru-baru ini.

Pada sama sama, Dr Wan Azizah berkata, usaha untuk menjejaki lelaki berkenaan di Gua Musang, gagal apabila individu terbabit dipercayai lari dan menyembunyikan diri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, penelitian terhadap kes itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan memastikan hak serta kepentingan kanak-kanak terbabit sentiasa diutamakan walaupun bukan warga Malaysia.

“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk menjejakinya tetapi menerusi perbualan telefon semalam, usaha mendapatkan keterangan dan butiran lanjut itu gagal kerana beliau lari serta menyembunyikan diri.

Beliau berkata, ia termasuk kemungkinan wujud unsur jenayah dalam perkahwinan terbabit, sekali gus memberi tekanan terhadap keluarga kanak-kanak perempuan berkenaan untuk menerima lamaran.

“Penelitian awal turut mendapati ini adalah kali kedua lelaki berkenaan melamar kanak-kanak perempuan itu selepas ditolak ibunya pada percubaan kali pertama,” katanya.


Pengarang :