SASTERA

PINTU MANA LAGI?

Oleh IdaRasul

MATA terasa pedih. Bukan kerana mengantuk tetapi tegal terlalu lama menguluti surat khabar yang sudah renyuk. Helaian surat khabar yang sekerat itu didakap ke dada seraya tubuh disandar ke dinding yang sejuk. Mataku tertancap ke arah isteriku yang tidur tanpa selimut. Hanya cebisan kain terpakai yang kubawa dari kampung menutupi sebahagian kaki isteri yang berkudis dan bernanah. Anak-anak yang masih kecil pula sudah lama dipulas mimpi. Sesekali bau asap ubat nyamuk Fumakilla menyerang pernafasanku. Aku mula terasa sesak serta dihentak dengan perasaan yang berkecamuk sambil cuba mencongak-congak masa depan yang semakin bertakuk-takuk untuk didaki.

Ah! apa lagi yang harus aku lakukan? Anak sudah tiga orang. Yang sulung sudah berumur lima tahun. Sepatutnya, anak sulungku sudah dihantar belajar di tadika seperti anak-anak manusia yang lainnya. Ini tidak, dia hanya kubiarkan tinggal di bawah naungan ibu dan adik-adiknya. Berkubang dan bergelut untuk meneruskan kehidupan. Anak yang semuda itu sudah kuasuh untuk berdikari dan tidak merungut. Menerima segalanya tanpa dakwa-dakwi. Aku memang seorang lelaki yang dayus! Aku bermonolog sendirian. Surat khabar yang tinggal sisa itu kucampakkan sekuat hati ke atas lantai simen yang mengerutu. Itu tanda protes dan bantahan terhadap kenyataan hidup yang perlu aku harungi kini.

“Ayah…Man nak air.” Ujar anak keduaku sambil bangit dari tidurnya. Serta-merta naluri kebapaanku menyerang sanubari apabila melihat anak yang dipanggil dengan nama Man itu terbatuk-batuk. Dadanya berombak-ombak seperti dilanda taufan tsunami.

“Man, ini airnya.” Aku menghulurkan air yang kutuang ke dalam cawan plastik lantas menyuakannya. Man menyambut huluran itu lantas meneguk air perlahan-lahan. Dalam samar-samar cahaya, aku melihat keadaan Man. Sudah dua minggu Man batuk-batuk dan demam. Sudah dua minggu jugalah Man asyik tidur terbongkang dan tidak lalu makan. Man hanya menjamah sedikit nasi untuk mengalas perutnya yang kosong. Tubuh Man sudah semakin susut dan kurus. Entah apa kuman yang menyerang anakku itu pun aku tidak pasti? Aku hanya membekali Man dengan panadol yang kubeli dari kedai serbaneka di hujung tempat kami berteduh ini. Untuk mendapatkan rawatan dari klinik swasta yang jaraknya hanya sekangkang kera juga aku tidak mampu. Sungguh, aku tidak ada wang untuk membawa anakku itu berjumpa dengan doktor.

“Man…mari tidur dengan ayah. Biar ayah urut dada Man,” kataku sambil mengesot sedikit memberi ruang untuk anak itu berbaring di sebelahku.

Man bangun lalu melangkah lemah ke arahku. Langkahnya terhuyung-hayang. Melihat keadaan Man, hatiku dijentik dengan perasaan sedih. Sebagai seorang ayah, aku langsung tidak berdaya memberi kebahagiaan dan kemewahan buat anak-anak dan isteriku. Aku memang dayus! Tidak patut aku dijadikan tempat untuk berpaut. Dahanku rapuh dan kering-kontang. Malah, aku adalah lambang kepada penderitaan dan kematian! Rungutku kuat di dalam hati.

Namun, gema kedukaan dan rungutan itu tidak sesiapa pun peduli. Malah aku dipijak dan dihina hingga terbenam ke dasarnya, malah seluruh jiwaku sudah hilang ditiup oleh angin kebosanan untuk terus meminta-minta diberikan ruang untuk bernafas dan hidup.

Melihat keadaan keluargaku menyebabkan hatiku sakit. Sudah hampir enam bulan aku dan keluargaku menumpang berteduh di bawah jejambat di tepi Sungai Gombak. Sudah hampir enam bulan juga aku bertungkus-lumus mencari pekerjaan untuk menyara ahli keluargaku yang seramai empat orang. Namun, aku cuma hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan kadang-kadang, kaisanku langsung tidak mendatangkan hasil. Semenjak aku dihalau dari rumah sewa di Kampung Baru, sejak itulah hidup kami semakin tersepit dan tinggal di bawah jejambat yang airnya kotor dan berkeladak. Udaranya seperti duri mencucuk dada pada saban masa. Deria pendengaran pula sudah dipekakkan oleh bunyi kenderaan yang menderum-deram. Siang atau malam sama sahaja. Langsung tidak ada kenikmatan hidup. Malah, hidup bergelandangan ini menjadikan aku tidak tahu malu dan tidak punya harga diri. Aku dituduh pemalas. Malah lebih kejam lagi dituduh memperjudikan nasib anak dan isteriku.

Sebenarnya, aku sudah lelah untuk meminta bantuan. Beritahu kepadaku pintu mana lagi yang belum aku terjah dan aku lolosi? Semuanya sudah aku cuba. Dan petang itu, aku berjalan menuju ke sebuah bangunan untuk mencari kerja. Sesampai sahaja aku di sana, penghuninya langsung tidak mengendahkan kehadiranku, malah langsung tidak menjemput aku duduk. Tanpa segan, aku memberitahu bahawa aku memerlukan pekerjaan. Biarpun pekerjaannya hanya tukang cuci atau tukang sapu, aku sanggup melaksanakannya. Walaupun aku ditawarkan sebagai pembancuh minuman sekalipun, aku sanggup menerimanya. Tetapi, aku dihalau seperti anjing kurap dari muka pintu dan nyaris tersembam di kaki lantai.

Kemudian, aku berusaha lagi. Kali ini aku ke bangunan lain untuk meminta bantuan. Aku hanya dilayan oleh pengawal keselamatan berbangsa Nepal. Nampaknya, aku lebih hina daripada mereka sedangkan aku adalah anak jati bumi bertuah ini. Dengan kasar, pengawal itu memberikan aku pelbagai jenis borang untuk diisi. Untuk meminta RM10 pun aku dipaksa untuk menghantar borang? Ah, pintu mana lagi yang harus aku terjah dan terpa? Kalau pintu bangunan ini menolak permintaanku, ke mana lagi harus aku pergi?

Usai beredar dari bangunan itu, aku duduk termenung di bahu jalan memikirkan keadaan aku dan ahli keluargaku yang tinggal di bandar metropolitan. Sungguh, aku tidak sanggup lagi. Aku menghampiri seorang lelaki berbaju kemeja putih dan bertali leher. Lelaki itu menjegilkan matanya apabila melihat kehadiranku. Aku tidak malu lantas segera aku menyuarakan keinginanku yang satu.

“Encik. Tolonglah bawa saya dan ahli keluarga saya ke Rumah Kebajikan Masyarakat.” Rayuku penuh simpati.

Dan petang itu, pintu yang satu itu ternganga luas menerima kehadiran aku, isteri dan anak-anakku. Tangan-tangan ghaib yang tidak kukenali kemudiannya muncul satu-persatu. Aku tiada pilihan. Hanya pintu itu sahajalah yang mahu menerima kehadiran aku dan ahli keluargaku.


Pengarang :