PBTSELANGOR

PJ Half Marathon 2018 terima sambutan hangat

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 18 JULAI: Acara larian terulung di Petaling Jaya, PJ Half Marathon berjaya mendapat sambutan meluas dengan penyertaan 284 peserta dari 43 negara, pada siri ke-30 yang berlangsung, pada 15 Julai lalu.

Sekretariat Media Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, sambutan hebat itu menjadikan acara berkenaan berprestij ekoran peningkatan peserta saban tahun.

Katanya, seramai 11,400 peserta mengambil bahagian, berbanding 7,000, pada tahun lalu.

“Peningkatan penyertaan peserta luar negara begitu ketara menjadikan acara ini berprestij dan mampu menarik pelari antarabangsa.

“Edisi kali ini juga menyaksikan pendaftaran penyertaan ditutup dua bulan lebih awal dari sasaran atas sambutan hangat daripada pelari tempatan dan luar negara,” katanya.

Acara larian seawal jam 4.45 pagi menyaksikan empat kategori dipertandingkan antaranya 30 kilometer (km) terbuka, 21km terbuka, 10km terbuka dan 3km Fun Run dengan RM82,000 hadiah keseluruhan ditawarkan.

Ia turut menampilkan kelainan apabila aplikasi ‘PJ Half Marathon 2018’ diperkenalkan seiring kemajuan teknologi sejagat, iaitu mudah diakses, ‘live-tracking’ peserta larian, interaktif dan memudahkan peserta mengetahui perkembangan terkini acara itu.

Aplikasi ini boleh dimuat turun di Android & iOS.

Seramai kira-kira 100 polis trafik dan 50 pegawai penguat kuasa MBPJ akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas bagi menjamin kelancaran serta keselamatan semua.

PJ Half Marathon kali ini dianjurkan MBPJ dan Persatuan Olahraga PARA Selangor (POPS) dengan kerjasama Puncak Ventures SRA Sdn Bhd.

 


Pengarang :