SELANGOR

PKNS serlah keunikan Bernam Jaya

OLEH NADIAH ZAMLUS

BERNAM JAYA, 24 JULAI: Mempunyai pemandangan alam semula jadi menarik berlatar belakangkan Banjaran Titiwangsa menjadikan Bernam Jaya berpotensi sebagai lokasi aktiviti sukan lasak.

Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim berkata, kawasannya yang strategik antara sempadan Selangor dan Perak menjadikannya sebagai lokasi pilihan bagi penganjuran PKNS Trail Run & Duathlon 2018.

“Acara itu mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima hampir 1,000 penyertaan daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

“Memang lain daripada lain, jarang sekali acara larian membabitkan ‘off road track’ seperti dianjurkan PKNS.

“Sambil berlari, peserta boleh menikmati kehijauan flora & fauna,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Program yang diadakan pada 21 hingga 22 Julai itu mempertandingkan dua acara, iaitu Trail Run dan Duathlon, membabitkan larian 21 kilometer (km), 10km dan 5km.

Pertandingan itu turut menawarkan hadiah keseluruhan RM72,000 kepada pemenang.

Ishak berkata, selain bermatlamat menyebar luas mesej kesihatan kepada masyarakat, PKNS juga memperkenalkan Bernam Jaya sebagai kawasan giat dibangunkan meliputi projek perumahan dan rumah kedai.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi projek Estera @ Bernam Jaya dan Bernam Square 3, di sini, baru-baru ini.

“Berinspirasikan nama bintang, Estera bakal menjadi mercu tanda kepada pembangunan perumahan baharu di sini, yang dilancarkan di Galeri Jualan Bernam Jaya, pada 7 Julai lalu meliputi 157 unit rumah link 2 dan 2 ½ tingkat Fasa 5B, Laman 1 di Bernam Jaya.

“Estera menawarkan dua varian, iaitu Jenis A (36 unit) dan Jenis B (121 unit) yang dijual pada harga RM500,000 hingga RM632,200 seunit.

“Kami turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada bakal pembeli, manakala 12 peratus diskaun untuk Skim Pemilikan Kedua PKNS,” katanya.

Estera yang terletak berdekatan Pekan Tanjung Malim, mempunyai akses mudah melalui Jalan Persekutuan KL-Ipoh dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020. .


Pengarang :