SELANGOR

PKPS kembali jana keuntungan di bawah PAKATAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) kembali menjana keuntungan apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri sejak 2008.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keadaan ini menjadikan PKPS bersedia meneroka dalam bidang baru khususnya melibatkan pertanian berteknologi tinggi.

“Mereka dah berkembang dan apa yang penting sekarang PKPS sudah mampu menjana kembali keuntungan berbanding tahun sebelum kita mengambil alih pada 2008 dulu.

“Kalau dulu buku kira-kira PKPS agak membimbangkan tetapi sekarang di sudut pentadbirannya baik dan sudah tiba masanya mereka memasuki bidang baru mengemaskini bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PKPS 2018 di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebelum ini PKPS bergelut menjalankan penstrukturan pentadbirannya bagi memastikan PKPS berada di landasan yang tepat.

Amirudin berharap PKPS menjalankan usaha lebih aktif untuk memperkasakan bidang pertanian melalui penggunaan kaedah pertanian berteknologi tinggi.

“Bila kita buat lawatan ke Taiwan tahun lepas, didapati antara punca Taiwan sebuah negara kecil tetapi mampu menyumbang kepada industri pertanian kerana kemampuan mereka menggabungkan teknologi tinggi yang membantu mengeluarkan produk yang baik, berkualiti dan banyak,” katanya.

Amirudin berkata, selain pertanian, pembangunan bidang penternakkan di samping penggunaan teknologi tinggi juga perlu diberi perhatian.


Pengarang :