Planetarium Negara: Peluang tentukan arah Kiblat 16 Julai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Planetarium Negara: Peluang tentukan arah Kiblat 16 Julai

KUALA LUMPUR 14 JUL: Umat Islam di Malaysia berpeluang untuk memastikan arah kiblat di rumah atau masjid pada 5.27 petang Isnin ini (16 Julai) apabila matahari berada tepat di atas Kaabah di Makkah, menurut Planetarium Negara.

“Oleh kerana matahari berada tepat di atas Kaabah, maka bayang-bayang sinaran matahari bagi semua objek yang ada di permukaan bumi pada ketika itu akan menghala ke arah Kaabah dan boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat secara semulajadi,” menurut Planetarium Negara dalam satu kenyataan.

Orang ramai perlu mencari objek yang berdiri tegak yang dapat menunjukkan bayang-bayangnya apabila terkena sinaran matahari pada waktu itu.


“Orang ramai boleh mendirikan tiang di kawasan bersesuaian dan memastikan tiang berkenaan betul-betul tegak dengan menggunakan peralatan pelaras buih udara yang biasanya digunakan untuk pembinaan bangunan sekiranya tiada objek tegak, selain berpandukan pinggir dinding bangunan yang betul-betul tegak untuk mencari bayang-bayang matahari pada waktu dan tarikh berkenaan.

“Tepat pukul 5.27 petang dan sekiranya cuaca baik di mana anda dapat melihat bayang-bayang matahari daripada tiang yang anda dirikan atau daripada pinggir bangunan atau sebarang objek tegak lain.

“Anda perlu melakarkan garisan bayang-bayang matahari yang terbentuk sama ada di atas tanah atau kertas atau sebarang permukaan yang mudah dilukis atau diguris,” menurut Planetarium Negara.

Kenyataan itu turut menyebut garisan yang telah berjaya dilakar itulah yang merupakan hala ke arah Kaabah atau arah kiblat jika mereka berdiri di satu hujung garisan dan menghadap ke hujung satu lagi garisan pada arah matahari terbenam.

“Orang ramai hendaklah memastikan garisan yang dilakar itu dapat dikekalkan tanpa sebarang gangguan atau usaha untuk memadamkannya bagi rujukan pada masa hadapan.

“Setelah arah kiblat diketahui maka bandingkanlah dengan arah kiblat yang biasanya anda ikuti sama ada di rumah sendiri atau di masjid dan surau. Sekiranya terdapat perbezaan maka buatlah pembetulan yang sewajarnya,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, Planetarium Negara di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar akan menganjurkan Program Pencerapan dan Menandakan Bayang-bayang Matahari pada Isnin ini mulai pukul 4 petang hingga 6 petang.

Program yang diadakan di hadapan pintu masuk Planetarium Negara itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada awam kaedah menentukan arah kiblat melalui pencerapan bayang-bayang matahari.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22735484 atau email info@planet.gov.my atau melayari laman sesawang Planetarium Negara di www.planetariumnegara.gov.my atau Facebook Planetarium Negara.

SUMBER: BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next